MEMPEROLEH badan yang sihat dan langsing seperti sedia kala menjadi
idaman wanita yang baru saja melahirkan anak. Namun ada wanita
beranggapan proses berpantang selama 44 hari adalah tempoh masa
membosankan. Begitupun bagi ibu yang tahu akan rahsia berpantang, akan
menggunakan masa sebaiknya serta menjaga tingkah laku, makan, minum
serta amalan tradisional mengikut warisan pusaka nenek moyang bagi
mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.
Amalan berpantang mempunyai banyak kebaikan bukan saja kepada ibu,
malah bayi yang baru dilahirkan. Ini kerana wanita bersalin memerlukan
sokongan serta bimbingan dari segi emosi dan fizikal kerana kehilangan
banyak tenaga ketika proses bersalin, sekali gus menyembuhkan luka dan
kesakitan selepas bersalin.
Justeru, ibu dinasihatkan mengamalkan pemakaian bengkung, bertungku
dan mandi herba secara eksklusif dalam tempoh tertentu sekiranya ingin
kembali sihat, langsing serta cergas. Berbengkung berfungsi untuk
mengelakkan kemasukan angin sejuk pada liang perut serta memudahkan
pengeluaran angin panas dan kotor menerusi ikatan barut dan ubat yang
sempurna.
Bengkung juga digunakan untuk membantu mengempiskan perut dan
bahagian berlemak yang terdapat pada paha dan punggung. Pemakaian
bengkung yang kemas dan ketat membantu mengembalikan bentuk badan dengan
cepat serta mengekalkan posisi yang baik terutama bagi ibu yang
menyusukan bayi mereka.
Biasanya mereka akan duduk dalam posisi yang tidak betul, justeru,
bengkung baik untuk menyokong tulang kerana selepas bersalin berat tidak
lagi ditanggung oleh tulang belakang sepenuhnya.
Selain itu, bengkung menyokong dan menguatkan otot abdomen yang lemah akibat regangan ketika mengandung.
Bengkung yang baik mempunyai diameter panjang daripada paras payudara
sehingga ke bawah pinggul. Ini dapat memberi sokongan yang kukuh ke
atas rahim serta membataskan pergerakan anda.
Bagi ibu yang melahirkan anak secara normal, bengkung seelok-eloknya dipakai sepanjang masa dan hanya ditanggalkan ketika mandi.
Pemakaian bermula hari keempat sehingga habis tempoh pantang atau
seberapa lama yang anda kehendaki. Bagi mendapat kesan maksimum pakai
minyak panas dulu sebelum berbengkung.
Bagi ibu yang melahirkan anak secara pembedahan, pemakaian bengkung
boleh dimulakan seawal hari ke-14. Sebaik-baiknya anda mempunyai dua
bengkung agar dapat menukar bengkung untuk membersihkannya.
Selain bengkung, bertungku adalah amalan tradisional yang penting
ketika berpantang. Biasanya tungku diperbuat daripada besi sebesar botol
500 mililiter dan beratnya kira-kira 1.5 kilogram.
Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau
anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan
terletak kepada beratnya, tetapi tahap kepanasan yang dapat meresap
hingga ke dalam tubuh.
Sebelum bertungku besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih
dulu selama satu jam di atas api sederhana. Kemudian tungku dibalut
dengan kain cita yang sudah dilapik daun mengkudu. Jika daun mengkudu
tiada boleh diganti daun sirih atau lengkuas. Kesan panas daripada
tungku akan meresap ke dalam daun, sekali gus merawat bahagian badan
ketika proses bertungku.
Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan
perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari (bawah
pusat dan di atas perut iaitu bawah payudara). Untuk kesan tungku yang
lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Bertungku penting kerana dapat menghangatkan badan ibu, membuang
angin, mengecutkan urat yang kembang serta memperbetulkan serta
melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar
selepas bertungku. Justeru, bertungku ada kalanya diteruskan hingga
keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau
dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku, ia boleh diteruskan
hingga habis pantang.
Selepas bertungku, bagi mengembalikan kesegaran badan, wanita
digalakkan berurut selama tiga hari berturut-turut pada setiap pagi
sebelum mandi. Ini dilakukan seminggu selepas bersalin dan diteruskan
pada penghujung pantang iaitu hari ke-42, 43 dan 44 diikuti pada hari
ke-60 dan ke-100 selepas berpantang.
Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi menggunakan minyak angin
seperti serai wangi atau kayu putih selama satu jam atau lebih. Urut
bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah,
membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan
mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kotoran. Berurut juga
membantu membanyakkan susu ibu dalam tempoh berpantang.
Setelah selesai bertungku dan berurut, wanita bersalin digalakkan
mandi menggunakan air rebusan daun kunyit, lenggundi, secerek, pandan,
lengkuas, serai wangi, pisang kelat, capa, inai, bebuas, mengkudu dan
rempah halba untuk membuang angin, menyegarkan urat, memulihkan tenaga,
menghilangkan bau badan, membantu melancarkan pengeluaran susu ibu serta
mengatasi masalah kebas dan sengal tulang.
Selain amalan di atas, pemakanan juga harus dijaga dengan mengamalkan
makanan kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas,
gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Elakkan minum
air batu kerana akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin,
dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau
dikukus. Lada hitam, halia, serai, asam gelugur dan rempah-ratus adalah
sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan
ibu.
Ibu harus tahu makanan apa yang boleh dimakan atau tidak kerana ibu
yang menyusukan anak harus menitikberatkan makanan berkhasiat dan
mengelak makanan berangin supaya bayi tidak kembung selepas disusukan,.
Selain amalan berpantang untuk ibu, bayi juga harus dijaga sebaiknya.
Amalan memakaikan barut (binder) untuk bayi memberi banyak manfaat
antaranya mengelak bayi kembung, perutnya tidak mudah dimasuki angin,
sekali gus memberi keselesaan kepada bayi. Namun, pastikan ikatan barut
tidak terlalu ketat. Minyak bayi juga boleh digunakan bersama barut
untuk memberi keselesaan dan membuang angin dalam badan.
Bayi juga perlu dibedung supaya sentiasa tidur lena dan dan tidak
mudah terkejut. Pemakaian bedung memberi keselesaan kepada bayi seakan
seperti berada di dalam perut ibu mengandung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan