Khamis, 14 April 2011

JiWa HaLuS MiLiK-NYA

Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelah hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari dalam sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaannya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tetapi, dia tersungkur lagi.
Air jernih berjuraian menelusuri pipi dan dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf ‘Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaum hawa agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk tempoh-tempoh tertentu.
Walaupun pada hakikatnya, teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, dan memuji keagungan-Nya.
Mutmainnah akui itu semua tapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.
"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki tu kan? Jalan tak pandang perempuan pun.”
“Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu..Nanti orang ingat kamu sewel pula."
“Mutmainnah…ini...”
"Mutmainnah…itu.."
"Aku memohon ampun darimu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat keberapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.
Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.
Ayat 125 dari surah Al-An’aam dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya.
Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran. [Surah Al-An’aam]
Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Terasa dahaga dan lapar! Dengan rakus dia menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.
"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah berfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.